Zaman Pertengahan Sejarah_Itali

Jata empat Republik Maritim. Mengikut arah jam, mulai kiri atas: Venice, Genoa, Pisa, Amalfi.

Pada abad ke-6, Maharaja Byzantium, Justinian menakluki semula Itali daripada puak Ostrogoth, tetapi cubaan baginda untuk menghidupkan semula Empayar Rom Barat dipatahkan oleh sebuah puak Germanik yang baru iaitu orang Lombard, tetapi kegagalan Justinian ini meninggalkan kesan jangka panjang. Selama 13 abad yang kemudian, ketika negara baru didirikan di tanah-tanah di utara banjaran Alps, persada politik Itali berupa cantuman negeri kota, pemerintahan zalim yang kecil-kecilan, dan penceroboh asing yang saling bermusuhan.

Pada zaman kekosongan tampuk pemerintahan inilah kawasan Itali menyaksikan kebangkitan konsep Signoria dan Comune. Dalam keadaan serba anarki yang menguasai negeri-negeri kota Itali ini, rakyat jelata mengharapkan orang kuat untuk memulihkan ketenteraman serta melucutkan senjata golongan bangsawan yang berbalahan. Itali pada zaman ini juga digambarkan oleh republik-republik saudagar. Negeri-negeri kota ini yang sebenarnya diperintah oleh oligarki ini, mempunyai kelas saudagar yang dominan dan menikmati kebebasan relatif yang memupuk kemajuan akademik dan kesenian. Empat Republik Maritim klasik di Itali ialah Venice, Genoa, Pisa dan Amalfi. Venice dan Genoa merupakan pintu masuk Eropah kepada perdagangan dengan negara Timur, khususnya Venice selaku pengeluar kaca venetia yang terkenal. Firenze (Florence) pula merupakan pusat pengeluaran sutera, sakhlat, perbankan dan permata. Republik Maritim ini banyak terlibat dalam Perang Salib, dengan mengambil kesempatan ke atas peluang politik dan perdagangan yang baru, terbukti sekali oleh kempen penaklukan Zara dan Constantinople yang dibiayai oleh Venice.